Selasa, 2 Julai 2013

Adat resam upacara perkahwinan kaum Melayu

Peringkat pertama

Merisik atau menengok

Sebaik sahaja ibu bapa seseorang lelaki memutuskan bahawa anaknya cukup umur untuk berkahwin, mereka akan mencari-cari pasangan yang sesuai untuk dijadikan isteri anaknya. Biasanya calon dipilih bedasarkan keturunan, pendidikan ugama, kecantikan, dan hubungan kekeluargaan. Tanggungjawab untuk memilih pengantin perempuan jatuh kepada ibu bapa pada keseluruhannya. Bagi pihak lelaki, ibu bapa mungkin menyenaraikan beberapa calon untuk dipilih, dengan persetujuan anak lelaki mereka atau sebaliknya. Bagaimanapun, kini sebilangan orang Melayu khususnya mereka yang berpendidikan barat, membiarkan pilihan isteri hampir pada keseluruhannya kepada anak-anak lelaki mereka.
Menurut adat resam kahwin Melayu, ibu bapa akan mengendalikan tugas memilih pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka dengan teliti. Selepas mereka memilih beberapa orang anak dara yang sesuai, mereka akan memulakan penyiasatan dengan menanya kawan-kawan dan saudara-saudara mereka serta anak-anak dara yang terpilih. Dalam pemilihan mereka, ibu bapa anak lelaki memerlukan bahawa bukan sahaja sifat dan tingkah laku anak dara itu tetapi juga ibu bapanya dapat diterima kerana mereka memegang teguh kepada peribahasa, "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu."
Antara sifat-sifat yang paling dikagumi oleh bakal mertua pada zaman dahulu(dan masih oleh sebilangan orang pada hari ini) ialah kemahiran rumah tangga seperti memasak dan menjahit. Bagaimanapun, pencapaian yang paling disanjung ialah keupayaan anak dara untuk membaca al-Quran (baik memahami apa yang dibacanya mahupun tidak) dengan fasih dan merdu. Tidak terdapat sebarang pencapaian pendidikan ketika itu yang lebih penting, termasuk juga kenal huruf dalam bahasa Melayu.
Selepas membuat keputusan tentang bakal menantu perempuan berdasarkan maklumat-maklumat yang dikumpulkan dan sebelum meminang, ibu bapa anak lelaki akan membuat penyiasatan terakhir dengan menghantar sebilangan kawan atau saudara (biasanya wanita) ke rumah anak dara itu untuk mengenalnya secara peribadi. Biasanya, utusan-utusan itu dihantar ke rumah anak dara tanpa sebarang pengumuman kerana adanya makna khusus untuk kunjungan tanpa persediaan itu. Orang Melayu pada zaman dahulu (serta sebilangan kecil di kawasan luar bandar pada hari ini) mempercayai bahawa pada ketibaan utusan-utusan di rumah anak dara itu, gadis itu sedang mandi atau mencuci, ini merupakan petanda yang bertuah untuk masa hadapan perkahwinan kedua-dua orang muda itu. Sebaliknya, jika gadis itu didapati masak di dapur, ia merupakan petanda yang kurang baik[perlu rujukan]. Orang Melayu pada zaman dahulu juga mempercayai bahawa jika perjalanannya ke rumah anak dara lambat atau dihalang atas sebarang sebab atau kemalangan, ia merupakan petanda bahawa masa depan perkahwinan itu tidak begitu bahagia. Bagaimanapun,[kepercayaan karut] ini tidak lagi diambil berat oleh kebanyakan orang Melayu, termasuk juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Pada akhir kajian dan selepas menilai, ibu bapa anak lelaki itu akan mengadakan majlis kecil antara keluarga kedua-dua pihak serta bersama-sama saudara-saudara rapat untuk memutuskan hari yang baik untuk meminang.

Meminang atau bertunang

Ibu bapa bakal pengantin lelaki kemudian menugaskan sebilangan orang tua yang rapat untuk bertemu dengan ibu bapa anak perempuan agar mendapat persetujuan. Ibu bapa anak perempuan akan meminta sedikit masa demi adat untuk membuat pertimbangan atas alasan bahawa mereka harus berunding dengan saudara-saudara mereka (walaupun mereka telah tahu tentang kunjungan utusan sebelum ketibaannya, dan telah memberikan persetujuan). Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lama, seminggu. Ibu bapa anak perempuan kemudian menugasi sebilangan saudara yang terdiri daripada kedua-dua lelaki dan perempuan, untuk menyampaikan keputusan mereka untuk menerima pinangan. Dan adalah semasa ini bahawa syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin, belanja, hari upacara perkahwinan, dan sebagainya dibincangkan dan diselesaikan. Inilah sebabnya utusan merangkumi orang-orang lelaki.
Pada zaman silam, dan pada takat yang tidak begitu biasa pada hari ini, adat menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan belanja, khususnya jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan. Tanda itu biasanya adalah dalam bentuk cincin emas atau berlian, dengan nilainya bergantung kepada kehendak hati serta keupayaan kewangan keluarga lelaki. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah-hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.
Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah-hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan. Penerimaan cincin dan hadiah-hadiah iringan secara tradisi bermaksud penerimaan syarat-syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak:
  • Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah-hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
  • Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.
Inilah adat yang telah diikuti oleh orang-orang Melayu sejak dari zaman silam. Terdapat juga dua cara pertunangan yang lain selain daripada cara yang tersebut di atas, iaitu:
  1. Pertunangan antara dua buah keluarga yang amat rapat atau bersaudara tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis ketika anak-anak mereka masih bayi atau kanak-kanak lagi.
  2. Pertunangan yang dibuat untuk memenuhi kehendak salah seorang mendiang ibu bapa (baik secara lisan sebelum kematiannya atau melalui wasiat tertulis). Cara ini amat dihormati oleh orang-orang Melayu.

Menghantar belanja dan akad

Pada zaman silam, istiadat menghantar mas kahwin dan belanja perkahwinan diadakan sehari atau dua (kekadang lebih lama) sebelum upacara akad, tetapi kini diadakan bersama-sama, mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan. Selain daripada mas kahwin dan belanja perkahwinan tersebut, barang-barang yang berikut juga dihantar:
  1. cincin yang bertatahkan batu permata
  2. kain sutera yang mencukupi untuk menjahit sehelai baju perempuan
  3. dua helai sarung sutera
  4. beraneka jenis kuih
  5. beraneka jenis buah-buahan
  6. puan (mangkuk sirih) atau kotak sirih yang dilengkapi dengan bahan-bahan (ini bukannya hadiah tetapi akan dipulangkan)
  7. satu atau dua buah cerek air mawar yang diperbuat daripada logam perak atau loyang (juga akan dipulangkan).
Kesemua barang tersebut mengiringi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Untuk upacara akad, pengantin lelaki pada zaman silam memakai pakaian haji atau pakaian bangsa Melayu yang mudah. Upacara akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama Islam dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan. Upacara-upacara amal yang lain hanya merupakan keperluan adat resam.
Pada ketibaan perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, anggota-anggota perarakan disambut masuk ke rumah. Pengantin lelaki berduduk di atas sehelai tikar sila di bahagian utama ibu rumah, berdekatan imam. Barang-barang yang dibawanya dibariskan di tengah ibu rumah antara dua baris tetamu yang berduduk, dengan wang belanja, cincin, serta puan di hadapan baris.
Imam kemudian memilih dua orang wakil daripada tetamu-tetamu untuk menerima dan menyemak hantaran, serta untuk menjadi saksi kepada upacara akad nikah. Selepas barang-barang itu disemak dan diterima oleh imam bagi pihak ibu bapa pengantin perempuan, kesemua barang itu, kecuali puan serta cerek air mawar dan dulang bunga rampai (jika disediakan), dihantar kepada kaum perempuan. Imam kemudian mendaftarkan nama pengantin lelaki ke dalam sebuah buku, dan selepas kemasukan itu ditandatangani oleh pengantin lelaki serta kedua-dua saksi tersebut, imam akan membaca upacara perkahwinan dalam bahasa Arab (bagaimanapun, pada hari ini, sebilangan besar imam Melayu yang bersikap wajar membaca upacara dalam bahasa yang difahami oleh pengantin lelaki dan para hadirin). Pada akhir upacara, imam memegang tangan kanan pengantin lelaki dan mengisytiharkan kenyataan akad kepadanya, mula-mulanya dalam bahasa Arab (tidak wajib) dan kemudian dalam bahasa Melayu:
"... bin ..., aku nikahkan dikau dengan ... binti ... yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."
Adat resam mengizinkan mas kahwin dihutang dengan tarikh pembayarannya tidak disebut. Oleh itu, imam akan menambahkan perkataan "berhutang" atau "tunai" sejurus selepas menyatakan jumlah mas kahwin dalam kenyataan akadnya. Imam kemudian berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebagai tanda untuknya menjawab tanpa teragak-agak atau kesilapan:
"Aku terima nikahnya ... binti ... dengan mas kahwinnya $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."
Jika jawapan pengantin lelaki disebut dengan tidak teragak-agak serta dengan jelas kepada mereka yang duduk berdekatannya, khususnya oleh kedua-dua saksi, jadi upacara akad dikira sah.
Selepas upacara akad, pengantin lelaki akan berjabat tangan dengan semua tetamu, bermula dengan imam dan bapa mertuanya, jika dia menghadiri majlis itu. Pengantin lelaki diiringi balik ke rumahnya dan tetamu-tetamu, baik lelaki mahupun perempuan, dihidangkan dengan jamuan yang terdiri daripada kari dan nasi minyak.
Pada waktu yang sama, majlis pengantin perempuan akan menyediakan nasi pengantin dan menghantarnya kepada pengantin lelaki di rumahnya. Pengantin lelaki akan menjemput beberapa kawan yang paling rapat untuk bersarapan bersama-sama.

Peringkat kedua

Berandam dan berasah gigi

Berandam dan berasah gigi diamalkan pada zaman silam, bersama-sama istiadat yang berkenaan, tiga hari atau lebih sebelum hari akad nikah. Rambut pengantin perempuan di dahi serta bulu keningnya dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini). Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilap supaya menjadikannya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang tukang andam yang juga merupakan "emak pengantin" (bukan ibu sebenar).
Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, dan hanya adat berandam diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini (pengantin lelaki tidak lagi mengamalkan adat ini), manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke kedai solek yang banyak terdapat di semua bandar di Malaysia. Walaupun demikian, di kawasan-kawasan terpencil, masih terdapat orang Melayu yang mematuhi peribahasa, "Biar mati anak, jangan mati adat".
Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air sintuk-limau yang dianggap secara tradisi sebagai dapat menghapuskan nasib malang pada pengantin perempuan.
Selepas mandi istidat itu dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur pada malam yang sama, sepuluh hujung jarinya dan pusat kedua-dua tapak tangan serta pinggir tapak kaki diinai dan dibiarkan kering sehingga pagi berikut. Ini adalah amalan berinai yang sebenar dan mendahului apa yang dikenali sebagai istiadat berinai.

Istiadat berinai

Istiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat:
  1. Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Kaedah yang dihuraikan di bahagian Berinai besar dipatuhi.
  2. Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya sama sahaja dengan berinai curi.
  3. Berinai besar.

Istiadat berinai besar

Ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan dalam pakaian pengantin, dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di hadapan sekumpulan tetamu (kebanyakannya wanita), saudara rapat, jiran, dan kawan keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin lelaki terletak sebuah dulang berkekaki yang besar yang mengandungi tiga buah pinggan, bersama-sama beberapa tangkai daun wangi. Pinggan-pinggan itu masing-masing mengandungi nasi kunyit, bertih, dan air daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak selonggok pes inai.
Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin, satu demi satu, untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan yang sama kemudian dilakukan dengan bertih. Ini diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki. Daun sirih itu bertujuan untuk mengelakkan mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini. Istiadat ini biasanya dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi bilangan mereka harus merupakan bilangan ganjil dan bukannya genap.
Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut menjalankan istiadat ini dengan cara yang tepat sama. Selepas semua tetamu yang minat telah menjalankan istiadat ini, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca doa selamat. Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin perempuan turut didudukkan di atas pelamin untuk menjalankan istiadat yang sama. Istidat ini diakhiri seperti biasa dengan jamuan kari dan nasi.
Kenduri berinai besar adalah jauh lebih besar, berbanding dengan kenduri berinai curi dan kenduri berinai kecil. Selain itu, pengantin lelaki tidak terlibat dalam istiadat berinai di rumah pengantin perempuan bagi isitiadat berinai curi dan berinai kecil. Sesetengah pengantin lelaki Melayu pada zaman silam juga menjalankan istiadat berinai di rumah sendiri tetapi istiadat ini tidak lagi dijalankan.

Peringkat ketiga

Bersanding

Rencana utama: Bersanding

Mandi limau

Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting pada zaman silam. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman silam, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam umumnya. Penyerahan bukti sebelum istidat mandi limau adalah wajib dan amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan perceraian serta-merta.
Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin, dan terdiri daripada memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.
Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya.
Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi diamalkan sama sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang Melayu.

Sambut-menyambut

Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Semasa ini, suami dan ibu bapa mertua akan membawanya membuat kunjungan pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya, mereka akan menjalankan istiadat bersanding sekali lagi, jika ibu bapa mertuanya merupakan orang berada. Lagi sebuah kenduri yang terdiri daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kekadangnya, hiburan sepanjang siang dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian tempatan akan diadakan untuk menghibur isteri yang baru ini. Istiadat yang diadakan di rumah pengantin lelaki kekadang lebih besar daripada istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan, tetapi kenduri-kenduri perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah lebih banyak dan lebih mewah daripada kenduri-kenduri yang diadakan di rumah pengantin lelaki.
Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru itu yang diiringi oleh suami dan ibu bapa mertuanya akan kembali ke rumah perempuan untuk mendiami sekurang-kurangnya beberapa bulan. Pada kepulangannya ini, sebuah kenduri yang kecil akan diadakan.
Inilah dia huraian secara ringkas tentang adat resam kahwin Melayu.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_resam_kahwin_Melayu

Adat resam upacara perkahwinan kaum India

Pemodenan tidak menghalang masyarakat Hindu di negara ini mengekalkan adat tradisi perkahwinan mereka tetapi dipermudahkan sesuai dengan peredaran zaman.
“Semoga perkahwinan ini mendapat kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Setiap pasangan dapat menghormati mertua masing-masing. Kedatangan menantu dalam sebuah keluarga mampu mendapat banyak tuah dan mempunyai bilangan cahaya mata yang ramai.”
Begitulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh seorang sami dalam bahasa Sanskrit sebaik kedua-dua mempelai selamat disatukan sebagai suami isteri.
Selain adat dan ritual dalam perkahwinan masyarakat India, majlis menyatukan dua hati itu tidak berakhir di situ.
Selepas bacaan mantera sami itu, kedua-dua mempelai akan bertukar mengikat thali, diikuti kalungan bunga sebelum mengelilingi api sebanyak tujuh kali yang melambangkan tujuh kelahiran.
Kemudian mereka akan saling menyarungkan cincin di jari kaki sebelum mendapat restu daripada ibu bapa dan saudara-mara kedua-dua belah pihak.
Di sebalik pemodenan hari ini, masyarakat Hindu masih mengekalkan adat budaya dan tradisi perkahwinan mereka.
Walaupun ada yang melihat adat adalah sesuatu yang agak remeh, namun itulah keistimewaan dan keindahan perkahwinan mempelai yang beragama Hindu.
Ketelitian adat perkahwinan itu bermula daripada proses lamaran, pertunangan, memilih tarikh perkahwinan mengikut bintang, majlis mandi kunyit dan mendapat restu keluarga lima atau tiga hari sebelum perkahwinan sehinggalah upacara perkahwinan yang sarat dengan istiadat.

THAALI merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalung pada leher pengantin perempuan.
“Upacara perkahwinan masyarakat India di negara ini secara keseluruhannya masih dikekalkan dengan adat-adat tradisi bagaimanapun dalam hal-hal tertentu ia dipermudahkan mengikut peredaran zaman.
“Perkara asas dalam perkahwinan masih ada tetapi di India ia lebih meluas kerana kelengkapan perkahwinan di sini tidak sehebat di India,” kata Pensyarah Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. M. Rajantheran
Kata beliau, tidak kira sama ada keluarga itu daripada golongan Cettiar (ceti) mahupun Tamil, upacara yang dijalankan tetap sama. Mungkin perbezaan hanya dari segi majlis yang diadakan samaada secara besar-besaran atau sederhana.
Katanya, kelainan yang dapat disaksikan apabila kaum India mula mengikut budaya memberi hadiah yang lazimnya menjadi sebahagian daripada amalan perkahwinan kaum Melayu.
Kepada pengacara sebuah program bual bicara Vaanavil, di Astro, Sushmeetha Morugan juga mempunyai memori perkahwinan yang cukup indah. Perkahwinannya dengan jejaka dari India, Arunkumar Sethuraman, 31, bukan sahaja mengikut adat sepenuhnya bahkan majlis tersebut dilangsungkan di India.

HANTARAN yang terdiri daripada kalungan bunga, sari, buah-buahan dan barang kemas untuk pengantin perempuan.
“Majlis perkahwinan di India lebih teliti dan banyak adat ritualnya. Majlis perkahwinan kebanyakannya masih diadakan di kuil dengan jamuan dihidangkan di atas daun pisang.
“Sebaliknya majlis perkahwinan di Malaysia sedikit moden seperti diadakan di hotel kerana segala-galanya tersedia,” katanya sambil memberitahu belum ada ahli keluarganya yang melangsungkan majlis perkahwinan di India.
Mengenali suaminya menerusi laman interaktif sosial Friendster sejak tiga tahun lalu, majlis yang diadakan pada Disember 2008 itu beritahu Sushmeetha, seramai 30 orang ahli keluarganya terbang ke Madurai, India untuk majlis itu sementara ibu bapa Arun sememangnya menetap di India.
Persiapan majlis
Menceritakan keindahan tradisi perkahwinan masyarakat India, Sushmeetha, 29, berkata, setelah kedua-dua keluarga bersetuju dengan pasangan masing-masing, mereka mula sibuk dengan sesi pemilihan tarikh mengikut kepercayaan kaum India.
Upacara menilik bintang begitu diutamakan memandangkan gerbang perkahwinan tidak boleh dipandang remeh.
“Kaum wanita dianggap suci dan perlu diberi penghormatan sebaik mungkin. Antara pantang larang yang perlu dipatuhi termasuklah pengantin lelaki dan wanita tidak boleh bersemuka antara tiga atau lima hari sebelum majlis perkahwinan,” ceritanya.
Menceritakan detik-detik persiapan, Sushmeetha terpaksa berhubung dengan keluarga pihak lelaki menerusi Internet tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti perselisihan pendapat.
Meskipun ibu mertuanya berasal dari India dan ingin mengamalkan perkahwinan mengikut adat budaya lama, beliau dan keluarganya tidak membantah.
“Keluarga saya memang mementingkan adat resam, jadi segala persiapan berjalan lancar daripada kedua-dua belah pihak,” jelasnya.
Selepas meneliti tarikh sesuai untuk memetrai perkahwinan, antara persiapan utama yang perlu dititikberatkan ialah kad jemputan, penyediaan thaali dan mukuurtta kaal.
Kad jemputan dianggap cukup istimewa kerana yang sudah siap dicetak akan disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.
Terang Sushmeetha, setiap majlis yang ingin diadakan haruslah dijemput menggunakan kad berlainan. Jadi tidak mustahil jika dia dan suaminya mempunyai empat kad jemputan bagi empat majlis berlainan.
“Saudara-mara ternanti-nanti kad jemputan perkahwinan. Kalau tidak ada kad mungkin mereka tidak akan datang.
“Di dalam kad jemputan itu akan tertera dua bahasa iaitu bahasa Tamil dan bahasa Inggeris,” jelasnya yang melangsungkan perkahwinan di Madurai Sri Meenakshi Sundareswarar Amman Temple, Madurai, India.
Anak kedua daripada lima adik-beradik itu amat bertuah apabila keluarga lelaki mengadakan majlis khas dengan menjemput tukang emas untuk membuat thaali. Thaali merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher pengantin perempuan.
Biasanya thaali yang diperbuat daripada emas akan disambungkan hujungnya dengan segumpal ikatan benang putih yang disapu kunyit.
“Thaali tidak semestinya diperbuat daripada emas ia bergantung kepada kemampuan keluarga lelaki,” terang Sushmeetha.
Disebabkan mengagungkan kehadiran orang baru, kediaman pengantin lelaki akan menjalankan adat mukuurtta kaal. Adat tersebut memerlukan sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang dan ditanam di hadapan rumah.
Tujuannya ialah untuk memberitahu orang kampung bahawa keluarga tersebut akan mengadakan majlis perkahwinan dan menerima menantu. Lazimnya bahan-bahan seperti sirih pinang, kum kum dan kunyit turut digunakan.
Ikatan suci
“Ahli keluarga pengantin akan memohon kepada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa sebarang gangguan. Batang kayu tersebut akan dibersihkan terlebih dahulu dan kulitnya dibuang.
“Selepas itu batang tersebut akan dicat dengan warna merah dan putih secara berselang-seli serta dipacakkan sedalam setengah meter, manakala bahan-bahan tadi akan ditanam ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan,” ungkapnya lagi.
Bagaimanakah acara perkahwinan bermula? Upacara perkahwinan dimulakan oleh sami dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Sami akan menabur sembilan jenis bijirin sebaik acara menyarung cincin selesai. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang dibuat khas dengan mengikatnya kepada pengantin perempuan hingga ke paras dada.
Sesi bertukar dulang diteruskan dengan memilih dua dulang yang mempunyai keistimewaan. Setiap keluarga akan memilih dulang yang berisi kain sari dan barangan kemas.
Kain sari akan dipilih secara teliti dan harga memainkan peranan penting. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk sehelai sari.
Selepas upacara itu, kedua-dua mempelai memberi penghormatan kepada ibu bapa atau mertua dengan bertukar-tukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci di dahi pengantin antara satu sama lain.
Upacara diteruskan dengan memberi penghormatan. Kedua-dua pengantin perlu menyembah kaki orang paling tua dalam keluarga iaitu ibu bapa, nenek atau datuk.
Masa merupakan antara faktor penting yang perlu diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan.
“Masa yang ditetapkan perlu dipatuhi kerana waktu yang telah dipilih itu mempunyai pelbagai kebaikan,” jelas Arun bahawa pengantin dan tetamu dijamu dengan menu sayur-sayuran.
Antara hidangan yang disediakan ialah acar, dal, bendi, papadom, kesari dan laddu.
“Di India sajian untuk majlis perkahwinan adalah 100 peratus sayur-sayuran. Itu merupakan keunikan majlis di India,” katanya.

Ahad, 30 Jun 2013

Al Quran Berusia 500 Tahun Dipamerkan

 LONDON - Satu manuskrip antara naskhah al-Quran paling penting dan jarang dilihat di dunia akan dipamerkan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.


Kitab suci tulisan tangan itu yang dianggarkan berusia sekitar 500 tahun, amat berharga dan rapuh sehinggakan para ilmuwan tidak dapat meletakkannya untuk dipamerkan.


Setiap helaian daripada 470 muka surat kitab itu yang berukuran 88x60 sentimeter, menyamai saiz skrin televisyen plasma besar dan ia disimpang di Perpustakaan John Rylands, Universiti Manchester, Britain.

Kini, pakar-pakar di perpustakaan berkenaan menggunakan teknologi digital untuk merakamkan setiap muka surat dan menyiarkan kitab suci itu di Internet bagi membolehkan para ilmuwan dan pelajar mengkajinya.

Kitab al-Quran itu dipercayai berasal dari perpustakaan Kansuh al-Ghuri, Kaherah, Mesir dan disimpan pada zaman dinastik terakhir Mamluk.

Ia dibeli oleh pihak pengurusan Perpustakaan John Rylands pada 1901 sebagai sebahagian daripada koleksi artifak Earls of Crawford. - Agens

6 Tempat Yang Dilarang DiLetakkan HandPhone..

--> 

Contohnya telefon bimbit anda hilang, rosak dan bahkan boleh saja menganggu kesihatan anda. Sebaiknya juga anda mengetahui di manakah tempat yang tidak sesuai diletakan telefon bimbit anda. Di bawah ini disenaraikan beberapa tempat yang kurang sesuai jika anda ingin menyimpan telefon bimbit anda.

1. Jangan Simpan Dalam Poket Seluar 
Sebagai pengguna telefon bimbit lelaki biasanya kita selalu menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar namun kajian mengatakan elektrostatik & elektromagnetik yang dihasilkan telefon bimbit boleh membuat lelaki menjadi mandul, dan mengundang tindak balas yang tidak baik pada anda. Selain itu jika kita jika kita lupa meletakkan telefon bimbit di dalam seluar silap-silap telefon bimbit tersebut boleh juga termasukan ke dalam mesin cuci pakaian.

2. Jangan Letakkan Bersama Barang Elektronik
Jangan simpan telefon bimbit anda dekat dengan barang elektronik lainya seperti di dekat TV, laptop sebab barang elektronik boleh mengeluarkan medan elektonik yang tinggi yang boleh membuat telefon bimbit kesayangan anda menjadi rosak.

3. Dilarang Dekat Kunci Kereta
Dalam keadaan tertentu, telefon bimbit yang digunakan dalam kenderaan akan memberikan kesan sampingan terhadap peralatan elektronik kenderaan. Telefon bimbit yang diletakkan terlalu dekat dengan kunci kereta ternyata boleh menghapus kod elektronik yang ada di kunci kereta tersebut. Terutama bagi kereta mewah.

4. Jangan Diletakkan Dekat Komputer
Komputer, laptop dan telefon bimbit sama-sama memancarkan gelombang elektromagnetik. Jika berada dalam jarak yang dekat, maka keduanya akan saling memberi kesan. Pasti kedua barangan ini amat anda sayangi. Sebaiknya jangan diletakan terlalu hampir diantara keduanya.

5 Jangan letakkan dekat Gas yang mudah terbakar
Pasti anda berfikir dengan meletakkan telefon bimbit dekat dengan gas boleh membuat gas meletup. Padahal tidak begitu, melainkan jika telefon bimbit berada dengan gas yang mudah terbakar boleh mengakibatkan telefon bimbit tidak dapat berfungsi dengan baik.

6. Jangan sesekali menyimpan atau diletakkan telefon bimbit anda di dalam kereta Berkunci
Meninggalkan atau meletakkan telefon bimbit anda di dalam kereta akan dapat dilihat oleh orang luar. Pasti boleh mengundang kecurian selain mungkin, telefon bimbit anda akan dicuri dan kereta anda mungkin akan dirosakkan

Whatapps Bakal Diharamkan?

--> 

DUBAI – Kerajaan Arab Saudi merancang untuk menyekat atau melarang penggunaan aplikasi komunikasi WhatsApp dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Sebuah akhbar tempatan memaklumkan, larangan itu akan dikuatkuasakan jika syarikat operator WhatsApp yang berpangkalan di Amerika Syarikat gagal memenuhi kehendak dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) sebelum ini telah melarang penggunaan aplikasi Viber pada minggu lalu.

Pihak berkuasa itu menjelaskan, aplikasi Viber dan Whatsapp didapati sukar dipantau.

Pada masa sama ia turut menjejaskan pendapatan syarikat telekomunikasi yang kehilangan banyak penggunaan panggilan dan SMS antarabangsa kerana kehadiran aplikasi terbabit.

Kerajaan Arab Saudi juga dijangka melaksanakan kawalan lebih ketat ke atas ruang siber dan Internet serta telefon pintar, sejajar dengan undang-undang ketat berkaitan percampuran antara rakyat.

“Kita telah berhubung dengan WhatsApp dan platform komunikasi yang serupa dengannya bagi meminta kerja sama mematuhi peraturan dan syarat telekomunikasi Arab Saudi.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang hasil yang diharapkan,” kata Ketua CITC Abdullah Al-Darrab kepada Arab News.

Abdullah berkata, operasi Viber telah dihalang minggu lalu kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan, dan WhatsApp serta Skype juga bakal berdepan tindakan sama.

Ditanya bilakah perkhidmatan WhastApp itu bakal disekat, beliau menegaskan kemungkinan besar ia bakal dilaksanakan sebelum ketibaan bulan Ramadan iaitu 9 Julai ini.

Pihak berkuasa pada Mac ada memaklumkan bahawa Viber, WhatsApp dan Skype telah melanggar undang-undang tempatan, namun ia tidak menyatakan apakah bentuk kesalahan yang telah dilakukan.

Media tempatan juga melaporkan bahawa tiga operator utama Arab Saudi iaitu Saudi Telecom Co, Etihad Etisalat (Mobily) dan Zain Saudi telah ditanya oleh CITC sama ada mereka boleh memantau dan menyekat aplikasi terbabit atau tidak.

CITC memaklumkan, kadar pemilik telefon bimbit pada akhir 2012 adalah sebanyak 188 peratus.

Pada masa sama, Arab Saudi memiliki 15.8 juta pelanggan Internet dan secara purata pengguna menonton tiga kali video di YouTube sehari.

Panggilan telefon dan SMS antarabangsa konvensional merupakan perniagaan menguntungkan operator telekomunikasi di Arab Saudi yang mempunyai sekitar sembilan juta pekerja asing.

Menurut penganalisis, mereka menggunakan aplikasi berasaskan Internet seperti Viber untuk berkomuniasi dengan saudara mereka di negara-negara lain