Perkahwinan Cina (
Bahasa Cina:
婚姻;
pinyin: hūn yīn) secara tradisi
diatur antara keluarga-keluarga berkenaan. Pada asalnya,
kebudayaan Cina membenarkan
percintaan, dengan
monogami merupakan norma masyarakat etnik Cina.
Perkahwinan dalam konteks Konfusianisme
Dalam pemikiran
Konfusianisme, perkahwinan merupakan suatu peristiwa yang amat penting kepada kedua-dua unit
keluarga serta
masyarakat. Secara tradisi dalam kebudayaan Cina,
inses telah ditakrifkan sebagai perkahwinan antara dua orang dengan
nama keluarga
yang sama. Dari sudut pandangan sebuah keluarga yang menganuti
Konfusianisme, perkahwinan merapatkan keluarga-keluarga dengan nama
keluarga yang berlainan dan meneruskan jurai keturunan
klan
bapanya. Secara amnya, ini merupakan sebab utama mengapa anak lelaki
diutamakan berbanding dengan anak perempuan ketika melahirkan anak. Oleh
itu, manfaat dan kelemahan sesuatu perkahwinan adalah penting kepada
seluruh keluarga, bukannya sahaja kepada pasangan yang berkenaan. Secara
sosial, sepasang suami isteri dianggap sebagai unit asas masyarakat
Cina. Dalam
sejarah Cina, terdapat banyak perkahwinan yang menjejaskan kestabilan
politik negara dan hubungan-hubungan antarabangsanya. Sejak zaman
Dinasti Han, raja puak-puak asing yang kuat seperti puak
Mongol,
Manchu,
Xiongnu, dan
Turki,
sering menuntut perempuan-perempuan daripada keluarga diraja Cina.
Banyak zaman dalam sejarah Cina juga dikuasai oleh keluarga isteri atau
ibu Maharaja. Oleh itu, perkahwinan kekadang juga berkait dengan
politik.
Perkahwinan Cina prasejarah
Perkahwinan dalam Masyarakat-masyarakat Awal
Dalam pemikiran Cina tradisional, orang-orang dalam masyarakat "primitif" tidak
berkahwin. Mereka dianggap sebagai menghidup seperti haiwan-
haiwan
yang lain, dan tidak mempunyai konsep yang tepat terhadap keibuan,
kebapaan, adik-beradik, suami dan isteri, serta jantina, apa lagi
tentang
penjodohan dan
upacara perkahwinan. Sebahagian daripada "misi peradaban"
Konfusianisme
adalah untuk mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan konsep bapa atau
suami, serta untuk mengajar manusia menghormati hubungan yang wajar
antara ahli-ahli keluarga.
Perkahwinan antara adik-beradik
Perkahwinan antara adik-beradik, walaupun dilarang dalam
kebudayaan Cina, pernah dilaporkan dalam
mitologi Cina yang amat awal. Terdapat sebuah cerita tentang perkahwinan antara
Nüwa (perempuan) dan
Fu Xi
(lelaki) yang merupakan adik-beradik. Ketika itu, dunia masih tidak
mempunyai banyak penduduk. Adik beradik itu hendak berkahwin tetapi
mereka berasa malu. Oleh itu, mereka ke bukit
Kunlun Shan
dan berdoa kepada Syurga agar memberikan kebenaran untuk mereka
berkahwin. Mereka berkata, "Jika Engkau membenarkan kami berkahwin, sila
menyelubungi kami dengan
kabus. Supaya dapat melindungi rasa malunya,
Nüwa dikatakan melitupi merah mukanya dengan sebuah kipas. Pada hari ini di sesetengah desa di
China, pengantin-
pengantin perempuan masih mengamalkan
adat resam yang menyembunyikan muka mereka dengan sebuah kipas.
Perkahwinan antara klan dan perkahwinan antitesis
Dalam masyarakat Cina, lelaki tidak dibenarkan berkahwin dengan
perempuan yang mempunyai nama keluarga yang sama (ini tidak lagi
diendahkan pada zaman baru-baru ini ketika jumlah penduduk Cina
bertambah sehingga mereka yang mempunyai nama keluarga yang sama mungkin
tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain). Perkahwinan
tersebut diperlihatkan sebagai
inses
dan dianggap akan membawa risiko terhadap kelahiran anak yang cacat.
Bagaimanapun, perkahwinan antara seorang anak lelaki dengan
saudara-saudara sebelah ibunya tidak diperlihatkan sebagai inses.
Klan-klan yang berbeza mungkin mempunyai lebih daripada satu nama
keluarga. Dari segi sejarah, terdapat banyak klan yang penting yang
tinggal di sepanjang
Sungai Kuning di China kuno, seperti puak
Huang Di yang mempunyai nama keluarga Ji, nama keluarga orang biasa, dan puak
Yan Di
yang mempunyai nama keluarga Jiang. Oleh sebab perkahwinan dengan
saudara-saudara sebelah ibu tidak dianggap sebagai inses,
keluarga-keluarga itu kadang-kadang berkahwin antara satu generasi
dengan generasi yang lain.
Dengan masa berlalu, perpindahan orang-orang Cina semakin meningkat.
Pasangan-pasangan berkahwin dalam apa yang dipanggil perkahwinan luar
klan, atau lebih dikenali sebagai perkahwinan antitesis. Ini terjadi
pada pertengahan
Zaman Batu Baru, iaitu sekitar
5000 SM. Menurut cendekiawan-cendekiawan Cina moden daripada aliran fikiran
Marxisme,
sistem saka
(iaitu sistem kuasa ibu) diamalkan dalam masyarakat ketika itu, dan
suami-suami diperlukan tinggal dengan keluarga isterinya. Bagaimanapun,
lelaki-lelaki itu masih merupakan ahli keluarga kandung mereka. Apabila
suami isteri meninggal dunia, mereka dikebumikan secara berasingan di
dalam
perkuburan klan masing-masing. Anak-anak dikebumikan dengan ibu mereka.
Perkahwinan antitesis masih berlaku di China moden. Di
Yunnan, lelaki dan perempuan dalam kelompok minoriti yang dikenali sebagai
Nakhi
membentuk pasangan sementara dan mereka menggelar satu sama lain
sebagai "Ahchu" dan bukannya "suami dan isteri". "Ahchu" lelaki tinggal
dan bekerja di rumah "Ahchu" perempuan.
Perkahwinan sistem saka dan monogami
Dalam perkahwinan sistem saka, seorang lelaki yang menjadi menantu
akan tinggal di dalam rumah isterinya. Dia juga diperlukan menukarkan
nama keluarganya menjadi nama keluarga isterinya. Ini berlaku dalam peralihan daripada perkahwinan antitesis kepada
monogami yang menandakan kemerosotan
sistem saka serta pertumbuhan penguasaan
sistem baka (iaitu sistem kuasa bapa) di China kuno.
Upacara amal perkahwinan tradisional
Suatu perkahwinan moden dijalankan dalam suatu format
Diansti Ming.
Perkahwinan Cina menjadi satu adat resam antara tahun
402 -
221 SM.
Sebelum zaman moden, perempuan tidak dibenarkan memilih pasangan untuk
berkahwin. Sebaliknya, keluarga pengantin perempuan memilih bakal
suaminya. Perkahwinan dipilih berdasarkan keperluan untuk
pembiakan dan nama baik keluarga, serta keperluan bapa dan suaminya.
Walaupun China mempunyai sejarah yang lama serta banyak kawasan
geografi yang berbeza, terdapat enam upacara amal pada umumnya yang
secara am dikenali sebagai
tiga aksara dan enam etiket.
- Pinangan: Ketika ibu bapa seorang anak lelaki menentukan bakal menantu perempuan, mereka akan mencari tukang risik
yang kerjanya adalah untuk mengurangkan konflik kepentingan serta rasa
malu ketika membincangkan kemungkinan perkahwinan antara dua buah
keluarga yang biasanya tidak rapat atau langsung dikenali.
- Pembandingan Hari Jadi: Jika keluarga bakal menantu perempuan
tidak membantah terhadap pinangan, tukang risik akan membandingkan hari
jadi pasangan tersebut. Jika pasangan itu adalah sesuai menurut astrologi Cina, mereka akan meneruskan ke langkah yang berikut.
- Penyampaian Hadiah Perkahwinan: Hadiah perkahwinan
berbeza-berbeza, bergantung kepada adat resam tempatan serta kekayaan
keluarga. Makanan dan makanan istimewa merupakan hadiah yang biasa.
- Pemilihan Hari Perkahwinan: Takwim Cina akan dirujuk untuk menetapkan hari yang bertuah.
- Upacara Perkahwinan: Upacara terakhir ialah upacara
perkahwinan sebenar yang menjadikan pengantin perempuan dan pengantin
lelaki sebagai suami isteri, dan terdiri daripada beberapa bahagian yang
teliti:
- Perarakan Perkahwinan: Perarakan perkahwinan dari rumah
pengantin perempuan bergerak ke rumah pengantin lelaki. Perarakan itu
terdiri daripada sebuah tandu pengantin perempuan, sebuah pancaragam
tradisional, sepasukan pengapit pengantin perempuan (jika ada), serta hantaran kahwin pengantin perempuan dalam bentuk wang.
- Penyambutan Pengantin Perempuan: Perarakan perkahwinan
berhenti di hadapan pintu rumah pengantin lelaki. Terdapat
upacara-upacara tertentu yang dipatuhi untuk menyambut pengantin
perempuan dan ahli-ahli perarakan ke dalam rumah pengantin lelaki.
Upacara-upacara tersebut berbeza-beza dari tempat ke tempat.
- Upacara Perkahwinan Sebenar: Sepadan dengan melafazkan ikrar
perkahwinan di Barat, pasangan akan memberi penghormatan-penghormatan
kepada Syurga dan Bumi, ibu bapa pengantin lelaki, serta antara satu
sama lain.
- Jamuan Perkahwinan: Dalam masyarakat Cina, jamuan perkahwinan dikenali sebagai xǐ-jǐu
yang secara harfiahnya bermaksud "wain kegembiraan", dan kekadang
adalah jauh lebih penting daripada majlis perkahwinan pada dirinya.
Adanya juga upacara-upacara seperti menuang wain atau teh untuk ibu
bapa, pasangan, dan para tetamu.
Proses penceraian tradisional
Dalam masyarakat Cina tradisional, terdapat tiga cara utama untuk membubarkan perkahwinan:
- Perceraian tanpa kesalahan: Menurut kod undang-undang Dinasti Tang (618-907), sebuah perkahwinan boleh dibubarkan atas sebab tidak bersesuaian, asalkan suami menulis catatan perceraian.
- Pembubaran perkahwinan melalui mandat negara: Ini berlaku jika salah
satu pasangan melakukan jenayah serius (ditakrifkan dengan
berbagai-bagai cara, tetapi ditakrifkan dengan lebih longgar untuk
isteri) terhadap pasangan atau klan pasangannya.
- Pengisytiharan perceraian satu pihak oleh suami: Bagaimanapun, untuk
berkuatkuasa di sisi undang-undang, perceraian tersebut harus
mendasarkan salah satu daripada tujuh alasan yang berikut:
- Isteri tidak taat kepada ibubapa mentua. Ini menyebabkan mentua berupaya membubarkan perkahwinan tanpa kerelaan hati pasangan.
- Isteri tidak berjaya melahirkan anak lelaki.
- Isteri tidak beradab atau berzina.
- Isteri cemburu. Ini termasuk membantah suami kerana berkahwin lagi seorang isteri atau mengambil gundik.
- Isteri mempunyai penyakit yang keji.
- Isteri suka mengumpat.
- Isteri mencuri.
Jelas alasan-alasan tersebut boleh diputarbelitkan untuk menyesuaikan
suami dan keluarganya. Bagaimanapun, terdapat tiga kekecualian yang
jelas yang penceraian satu pihak tidak dibenarkan:
- Isteri tidak ada keluarga untuk pulang.
- Isteri pernah berkabung selama tiga tahun penuh untuk seorang mertua.
- Suami miskin pada masa perkahwinan, tetapi kini telah menjadi kaya.
Undang-undang di atas adalah berkenaan dengan penceraian satu pihak yang dikuatkuasakan sejak dari masa
Dinasti Tang sehingga dibubarkan oleh kerajaan
Republik China pada tahun
1930.
Poligami
Bahagian ini membincangan aspek-aspek sosial dan undang-undang
poligami, khususnya
poligini
(seorang lelaki dengan banyak perempuan) dalam masyarakat Cina
tradisional. Kebudayaan tradisional tidak melarang atau menggalakkan
poligini dengan tersurat, kecuali sebagai cara untuk memperoleh
anak-anak lelaki.
Amalan poligini dalam masyarakat Cina tradisional hanya terhad kepada
bilangan perempuan yang boleh didapat, serta keupayaan seseorang lelaki
untuk menyara mereka. Oleh itu, poligini pada dasarnya terhad kepada
golongan atasan dan kelas menengah manakala di kalangan mereka yang
lain,
monogami
bolehlah dianggap sebagai norma. Rekod-rekod sejarah tertulis mungkin
berat sebelah tentang kejadian poligami yang sebenar, kerana golongan
elit bolehlah dianggap sebagai lebih ditonjolkan dalam rekod-rekod
tersebut.
Perkahwinan ganti tikar
Perkahwinan sororat
atau perkahwinan ganti tikar ialah adat resam yang mana seseorang
lelaki berkahwin dengan kakak atau adik isterinya. Istilah ini kemudian
diperluas untuk merangkumi saudara-saudara sepupu atau
perempuan-perempuan daripada
klan yang sama.
Perkahwinan ganti tikar boleh berlaku pada bila-bila masa, baik pada
waktu yang sama dengan perkahwinan isteri pertama, atau semasa isterinya
masih hidup, ataupun juga selepas isterinya telah meninggal dunia.
Amalan ini amat biasa semasa
Dinasti Zhou di kalangan orang bangsawan, dengan amalan ini juga berlaku pada zaman-zaman yang kemudian.
Isteri berbilang dengan status sama
Maharaja-maharaja bagi sesetengah dinasti yang agak kecil diketahui
mempunyai banyak maharani. Selain itu, kejadian ini juga boleh berlaku
dalam keadaan-keadaan yang khas. Umpamanya semasa perang, sepasangan
suami isteri mungkin berpisah dan suami itu salah menganggap bahawa
isterinya telah meninggal dunia. Dia berkahwin semula dan kemudian
mendapati bahawa isteri pertamanya masih hidup. Mereka disatukan semula
dan kedua-dua isterinya diakui.
Maharaja Qianlong daripada
Dinasti Qing
mula membenarkan poligami yang bertujuan khusus untuk melahirkan
pewaris bagi lagi satu cabang keluarga. Dikenali sebagai "pewarisan
berbilang", jika seorang lelaki merupakan anak tunggal, dan bapa
saudaranya tidak mempunyai anak lelaki, jadi dengan persetujuan bersama,
dia boleh mengahwini lagi seorang isteri. Anak lelaki daripada
perkahwinan ini akan menjadi cucu dan pewaris kepada bapa saudaranya.
Proses ini boleh diulangi untuk bapa-bapa saudara yang lain.
Selain daripada keinginan tradisional untuk mempunyai anak lelaki
agar dapat meneruskan nama keluarga, kebenaran ini pada setakatnya dapat
mengatasi dilema yang ditimbulkan oleh Maharaja Qianlong sendiri.
Baginda ketika itu baru sahaja mengharamkan sebarang bentuk
pewarisan bukan
nasab bapa, tetapi masih hendak mengekalkan
hubungan kekeluargaan Cina yang wajar. Oleh itu, sepasangan suami isteri tidah boleh mengambil
anak angkat daripada
keluarga luasnya.
Mereka harus mengambil anak angkat daripada orang luar (yang dianggap
oleh banyak orang sebagai memberi kekayaan kepada "orang luar" yang
tidak bersaudara), atau menjadi tidak mempunyai sebarang pewaris.
Perkahwinan-perkahwinan pewarisan berbilang memberikan jalan keluar
ketika adik-beradik suami mempunyai seorang anak lelaki.
Sekedudukan
Perempuan-perempuan yang menjadi
gundik
diperlakukan sebagai orang yang berkedudukan rendah dan dijangka harus
menyerah dan menurut perintah isteri (jika ada) lelaki yang berkenaan.
Perkahwinan perempuan-perempuan itu tidak dilakukan dengan sebarang
upacara, mempunyai hak yang kurang dalam hubungan, dan boleh diceraikan
dengan sewenang-wenangnya. Pada umumnya, mereka datang daripada status
sosial yang lebih rendah atau dibeli sebagai
abdi.
Perempuan-perempuan yang lari bersama kekasih mungkin juga menjadi
gundik kerana perkahwinan yang rasmi memerlukan penyertaan ibu bapa
mereka.
Bilangan gundik yang boleh dikahwini oleh seseorang lelaki kekadang
dikawal, dengan maharaja hampir selalu boleh mempunyai banyak gundik.
Satu bentuk sekedudukan yang agak berlainan ialah apa yang dipanggil
"dua isteri utama". Secara tradisi, seorang isteri dijangka akan tinggal
dengan keluarga suaminya. Apabila seseorang suami terpaksa tinggal jauh
daripada keluarganya, isterinya harus tinggal dengan mertua dan menjaga
mereka. Seorang lelaki yang menderita pemisahan kronik daripada
isterinya, seperti pedagang kembara, boleh "berkahwin" dengan lagi
seorang perempuan dan memulakan rumah tangga yang berasingan dengannya.
Disebabkan oleh perpisahan geografi, perempuan kedua itu sering
menganggap diri sebagai isteri penuh , walaupun perkahwinannya tidak
diakui di sisi undang-undang dan dia masih dianggap sebagai gundik.
Amalan ini telah mempengaruhi pertambahan poligami yang mendadak pada
baru-baru ini di tanah besar China. Sejak pembukaan sempadan China pada
dekad 1970-an, ahli-ahli
perniagaan dari
Hong Kong dan
Taiwan
telah mengahwini "isteri-isteri sekunder" di tanah besar. Sejak dari
masa itu, amalan ini juga mempengaruhi orang-orang kaya tempatan.
[1].
Poliandri
Poliandri
ialah amalan seorang wanita mempunyai banyak suami. Tidak ada hal macam
ini, ini hanya idaman isterinya yang ingin mempunyai suami lain kerana
mereka mungkin berkahwin secara tidak bersuka rela dan mungkin sekali
juga ternampak lelaki lain yang lebih kaya atau kacak. Pada zaman
dahulu, perempuan yang telah masuk ke rumah suaminya sudah dianggap
sebagai ahli keluarganya dan perlu patuh pada undang-undang rumah dan
patuh pada suaminya. Pada zaman kini, mungkin sekali ada isteri yang ada
lelaki lain yang dipanggil [xiao bai lian] tetapi tidak berkahwin dan
dengan itu tidak mungkin mempunyai banyak suami.
rujukan
http://ms.wikipedia.org/wiki/Perkahwinan_Cina