Pengenalan
Perkahwinan
dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan
besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan
institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat
diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam
masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur
sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang
berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua
bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu
perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah
(moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan
perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada
asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat
merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.
Merisik
Adat
merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati.
Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan,
peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk
mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada
ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan
kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian
masyarakat Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di
restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan
bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat
mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan
ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang
latar belakang keluarga dan asal keturunan.
Meminang
Setelah
kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga
masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk
berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara
berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan
berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan
meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak
lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah.
Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu
bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya
untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah
kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin,
barulah adat bertunang dijalankan.
Bertunang
Hari
pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah
bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat
tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan
kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan
pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan
perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin
lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan.
Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin
disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga
hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan
menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama
gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik.
Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan.
Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik
bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.
Tukang
tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua
nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor.
Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan
berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan
masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan
diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor
tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu
diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.
Hantaran
dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang
diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah
sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai.
Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup
kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi.
Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan
diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin
perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang
diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.
Majlis Perkahwinan
Hari
perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut
tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari
perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal
pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun
selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu
orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut
pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa
dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan
disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai
aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau
kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana
dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Seterusnya
pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada
masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali
pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing.
Seterusnya
pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah
disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin
akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan
memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini
begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta
restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina
juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia
merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri.
Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si
isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan
hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi
teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau
bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang
diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.
Kemuncak
upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu
jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di
rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa
ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama
kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli
keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan,
pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu
Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.
Pada
hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara
tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan
mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang
beragama Kristian.
:: Artikel diambil dari laman web Warisan Budaya Malaysia ::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan