Peringkat pertama
Merisik atau menengok
Sebaik sahaja ibu bapa seseorang lelaki memutuskan bahawa anaknya
cukup umur untuk
berkahwin,
mereka akan mencari-cari pasangan yang sesuai untuk dijadikan isteri
anaknya. Biasanya calon dipilih bedasarkan keturunan, pendidikan ugama,
kecantikan, dan hubungan kekeluargaan. Tanggungjawab untuk memilih
pengantin perempuan
jatuh kepada ibu bapa pada keseluruhannya. Bagi pihak lelaki, ibu bapa
mungkin menyenaraikan beberapa calon untuk dipilih, dengan persetujuan
anak lelaki mereka atau sebaliknya. Bagaimanapun, kini sebilangan orang
Melayu khususnya mereka yang berpendidikan barat, membiarkan pilihan
isteri hampir pada keseluruhannya kepada anak-anak lelaki mereka.
Menurut adat resam kahwin Melayu, ibu bapa akan mengendalikan tugas
memilih pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka dengan teliti.
Selepas mereka memilih beberapa orang anak dara yang sesuai, mereka akan
memulakan penyiasatan dengan menanya kawan-kawan dan saudara-saudara
mereka serta anak-anak dara yang terpilih. Dalam pemilihan mereka, ibu
bapa anak lelaki memerlukan bahawa bukan sahaja sifat dan tingkah laku
anak dara itu tetapi juga ibu bapanya dapat diterima kerana mereka
memegang teguh kepada
peribahasa, "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu."
Antara sifat-sifat yang paling dikagumi oleh bakal mertua pada zaman
dahulu(dan masih oleh sebilangan orang pada hari ini) ialah kemahiran
rumah tangga seperti memasak dan menjahit. Bagaimanapun, pencapaian yang
paling disanjung ialah keupayaan anak dara untuk membaca
al-Quran
(baik memahami apa yang dibacanya mahupun tidak) dengan fasih dan
merdu. Tidak terdapat sebarang pencapaian pendidikan ketika itu yang
lebih penting, termasuk juga
kenal huruf dalam
bahasa Melayu.
Selepas membuat keputusan tentang bakal menantu perempuan berdasarkan
maklumat-maklumat yang dikumpulkan dan sebelum meminang, ibu bapa anak
lelaki akan membuat penyiasatan terakhir dengan menghantar sebilangan
kawan atau saudara (biasanya wanita) ke rumah anak dara itu untuk
mengenalnya secara peribadi. Biasanya, utusan-utusan itu dihantar ke
rumah anak dara tanpa sebarang pengumuman kerana adanya makna khusus
untuk kunjungan tanpa persediaan itu. Orang Melayu pada zaman dahulu
(serta sebilangan kecil di kawasan luar bandar pada hari ini)
mempercayai bahawa pada ketibaan utusan-utusan di rumah anak dara itu,
gadis itu sedang mandi atau mencuci, ini merupakan petanda yang bertuah
untuk masa hadapan perkahwinan kedua-dua orang muda itu. Sebaliknya,
jika gadis itu didapati masak di dapur, ia merupakan petanda yang kurang
baik
[perlu rujukan].
Orang Melayu pada zaman dahulu juga mempercayai bahawa jika
perjalanannya ke rumah anak dara lambat atau dihalang atas sebarang
sebab atau kemalangan, ia merupakan petanda bahawa masa depan
perkahwinan itu tidak begitu bahagia. Bagaimanapun,[kepercayaan karut]
ini tidak lagi diambil berat oleh kebanyakan orang Melayu, termasuk juga
mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Pada akhir kajian dan selepas menilai, ibu bapa anak lelaki itu akan
mengadakan majlis kecil antara keluarga kedua-dua pihak serta
bersama-sama saudara-saudara rapat untuk memutuskan hari yang baik untuk
meminang.
Meminang atau bertunang
Ibu bapa bakal pengantin lelaki kemudian menugaskan sebilangan orang
tua yang rapat untuk bertemu dengan ibu bapa anak perempuan agar
mendapat persetujuan. Ibu bapa anak perempuan akan meminta sedikit masa
demi adat untuk membuat pertimbangan atas alasan bahawa mereka harus
berunding dengan saudara-saudara mereka (walaupun mereka telah tahu
tentang kunjungan utusan sebelum ketibaannya, dan telah memberikan
persetujuan). Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lama,
seminggu. Ibu bapa anak perempuan kemudian menugasi sebilangan saudara
yang terdiri daripada kedua-dua lelaki dan perempuan, untuk menyampaikan
keputusan mereka untuk menerima pinangan. Dan adalah semasa ini bahawa
syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin, belanja, hari upacara
perkahwinan, dan sebagainya dibincangkan dan diselesaikan. Inilah
sebabnya utusan merangkumi orang-orang lelaki.
Pada zaman silam, dan pada takat yang tidak begitu biasa pada hari
ini, adat menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan
belanja, khususnya jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan
selama beberapa bulan. Tanda itu biasanya adalah dalam bentuk cincin
emas atau berlian, dengan nilainya bergantung kepada kehendak hati serta
keupayaan kewangan keluarga lelaki. Tanda itu biasanya diiringi oleh
hadiah-hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti
kain,
sarung atau
kasut,
gula-gula,
buah-buahan, dan sebagainya.
Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh
kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan
hadiah-hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal
pengantin perempuan. Penerimaan cincin dan hadiah-hadiah iringan secara
tradisi bermaksud penerimaan syarat-syarat perkahwinan yang berikut
antara kedua-dua pihak:
- Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak
perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah-hadiah yang
lain tidak boleh dituntut balik.
- Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal
memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin
pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda,
baik dari segi bilangan atau nilainya.
Inilah adat yang telah diikuti oleh orang-orang Melayu sejak dari
zaman silam. Terdapat juga dua cara pertunangan yang lain selain
daripada cara yang tersebut di atas, iaitu:
- Pertunangan antara dua buah keluarga yang amat rapat atau bersaudara
tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis ketika anak-anak
mereka masih bayi atau kanak-kanak lagi.
- Pertunangan yang dibuat untuk memenuhi kehendak salah seorang
mendiang ibu bapa (baik secara lisan sebelum kematiannya atau melalui wasiat tertulis). Cara ini amat dihormati oleh orang-orang Melayu.
Menghantar belanja dan akad
Pada zaman silam, istiadat menghantar mas kahwin dan belanja
perkahwinan diadakan sehari atau dua (kekadang lebih lama) sebelum
upacara akad, tetapi kini diadakan bersama-sama, mungkin untuk
mengurangkan perbelanjaan. Selain daripada mas kahwin dan belanja
perkahwinan tersebut, barang-barang yang berikut juga dihantar:
- cincin yang bertatahkan batu permata
- kain sutera yang mencukupi untuk menjahit sehelai baju perempuan
- dua helai sarung sutera
- beraneka jenis kuih
- beraneka jenis buah-buahan
- puan (mangkuk sirih) atau kotak sirih yang dilengkapi dengan bahan-bahan (ini bukannya hadiah tetapi akan dipulangkan)
- satu atau dua buah cerek air mawar yang diperbuat daripada logam perak atau loyang (juga akan dipulangkan).
Kesemua barang tersebut mengiringi perarakan pengantin lelaki ke
rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Untuk
upacara akad, pengantin lelaki pada zaman silam memakai pakaian
haji atau pakaian bangsa Melayu yang mudah. Upacara akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama
Islam dan
undang-undang untuk
menghalalkan perkahwinan. Upacara-upacara amal yang lain hanya merupakan keperluan adat resam.
Pada ketibaan perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin
perempuan, anggota-anggota perarakan disambut masuk ke rumah. Pengantin
lelaki berduduk di atas sehelai tikar sila di bahagian utama
ibu rumah, berdekatan
imam.
Barang-barang yang dibawanya dibariskan di tengah ibu rumah antara dua
baris tetamu yang berduduk, dengan wang belanja, cincin, serta puan di
hadapan baris.
Imam kemudian memilih dua orang wakil daripada tetamu-tetamu untuk
menerima dan menyemak hantaran, serta untuk menjadi saksi kepada upacara
akad nikah.
Selepas barang-barang itu disemak dan diterima oleh imam bagi pihak ibu
bapa pengantin perempuan, kesemua barang itu, kecuali puan serta cerek
air mawar dan dulang
bunga rampai
(jika disediakan), dihantar kepada kaum perempuan. Imam kemudian
mendaftarkan nama pengantin lelaki ke dalam sebuah buku, dan selepas
kemasukan itu ditandatangani oleh pengantin lelaki serta kedua-dua saksi
tersebut, imam akan membaca upacara perkahwinan dalam
bahasa Arab
(bagaimanapun, pada hari ini, sebilangan besar imam Melayu yang
bersikap wajar membaca upacara dalam bahasa yang difahami oleh pengantin
lelaki dan para hadirin). Pada akhir upacara, imam memegang tangan
kanan pengantin lelaki dan mengisytiharkan kenyataan akad kepadanya,
mula-mulanya dalam bahasa Arab (tidak wajib) dan kemudian dalam bahasa
Melayu:
- "... bin ..., aku nikahkan dikau dengan ... binti ... yang telah
memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak $...
(tunai/berhutang) dan belanjanya $..."
Adat resam mengizinkan mas kahwin dihutang dengan tarikh
pembayarannya tidak disebut. Oleh itu, imam akan menambahkan perkataan
"berhutang" atau "tunai" sejurus selepas menyatakan jumlah mas kahwin
dalam kenyataan akadnya. Imam kemudian berjabat tangan dengan pengantin
lelaki sebagai tanda untuknya menjawab tanpa teragak-agak atau
kesilapan:
- "Aku terima nikahnya ... binti ... dengan mas kahwinnya $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."
Jika jawapan pengantin lelaki disebut dengan tidak teragak-agak serta
dengan jelas kepada mereka yang duduk berdekatannya, khususnya oleh
kedua-dua saksi, jadi upacara akad dikira sah.
Selepas upacara akad, pengantin lelaki akan berjabat tangan dengan
semua tetamu, bermula dengan imam dan bapa mertuanya, jika dia
menghadiri majlis itu. Pengantin lelaki diiringi balik ke rumahnya dan
tetamu-tetamu, baik lelaki mahupun perempuan, dihidangkan dengan jamuan
yang terdiri daripada
kari dan
nasi minyak.
Pada waktu yang sama, majlis pengantin perempuan akan menyediakan
nasi pengantin dan menghantarnya kepada pengantin lelaki di rumahnya.
Pengantin lelaki akan menjemput beberapa kawan yang paling rapat untuk
bersarapan bersama-sama.
Peringkat kedua
Berandam dan berasah gigi
Berandam dan berasah gigi diamalkan pada zaman silam, bersama-sama
istiadat yang berkenaan, tiga hari atau lebih sebelum hari akad nikah.
Rambut pengantin perempuan di
dahi serta
bulu keningnya
dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini).
Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilap supaya
menjadikannya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang
tukang andam yang juga merupakan "emak pengantin" (bukan ibu sebenar).
Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, dan hanya adat berandam
diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini
(pengantin lelaki tidak lagi mengamalkan adat ini), manakala orang
bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke
kedai solek yang banyak terdapat di semua bandar di
Malaysia.
Walaupun demikian, di kawasan-kawasan terpencil, masih terdapat orang
Melayu yang mematuhi peribahasa, "Biar mati anak, jangan mati adat".
Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air
sintuk-
limau yang dianggap secara tradisi sebagai dapat menghapuskan nasib malang pada pengantin perempuan.
Selepas mandi istidat itu dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur
pada malam yang sama, sepuluh hujung jarinya dan pusat kedua-dua tapak
tangan serta pinggir tapak kaki diinai dan dibiarkan kering sehingga
pagi berikut. Ini adalah amalan berinai yang sebenar dan mendahului apa
yang dikenali sebagai istiadat berinai.
Istiadat berinai
Istiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat:
- Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas
hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal
pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Kaedah yang
dihuraikan di bahagian Berinai besar dipatuhi.
- Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya sama sahaja dengan berinai curi.
- Berinai besar.
Istiadat berinai besar
Ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan dalam
pakaian pengantin, dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di
hadapan sekumpulan tetamu (kebanyakannya wanita), saudara rapat, jiran,
dan kawan keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin lelaki
terletak sebuah dulang berkekaki yang besar yang mengandungi tiga buah
pinggan, bersama-sama beberapa tangkai daun wangi. Pinggan-pinggan itu
masing-masing mengandungi
nasi kunyit,
bertih, dan air
daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak selonggok pes inai.
Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke
pelamin, satu demi satu, untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah
kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan yang sama kemudian dilakukan
dengan bertih. Ini diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke
dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua
belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil
sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya
pada
daun sirih
yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak
tangan pengantin lelaki. Daun sirih itu bertujuan untuk mengelakkan
mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak pengantin akan
merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada
sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini.
Istiadat ini biasanya dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi
bilangan mereka harus merupakan bilangan ganjil dan bukannya genap.
Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut
menjalankan istiadat ini dengan cara yang tepat sama. Selepas semua
tetamu yang minat telah menjalankan istiadat ini, seorang wakil daripada
kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca
doa selamat.
Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin
perempuan turut didudukkan di atas pelamin untuk menjalankan istiadat
yang sama. Istidat ini diakhiri seperti biasa dengan jamuan kari dan
nasi.
Kenduri
berinai besar adalah jauh lebih besar, berbanding dengan kenduri
berinai curi dan kenduri berinai kecil. Selain itu, pengantin lelaki
tidak terlibat dalam istiadat berinai di rumah pengantin perempuan bagi
isitiadat berinai curi dan berinai kecil. Sesetengah pengantin lelaki
Melayu pada zaman silam juga menjalankan istiadat berinai di rumah
sendiri tetapi istiadat ini tidak lagi dijalankan.
Peringkat ketiga
Bersanding
-
Rencana utama: Bersanding
Mandi limau
Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat
penting pada zaman silam. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak
pengantin akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki
tentang
keperawanan
pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan
menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti
yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan
itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang
paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman
silam, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting
kepada orang
Islam
umumnya. Penyerahan bukti sebelum istidat mandi limau adalah wajib dan
amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah
yang seringnya mengakibatkan
perceraian serta-merta.
Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin
perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan,
istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi
berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan
sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat
kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian
pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. Selepas berduduk
selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa turun dan
didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau
bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin,
dan terdiri daripada memercikkan air
sintuk dan
limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.
Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa
pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang
salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua
suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan
sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai
tolak bala dan
buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya.
Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi
diamalkan sama sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang
Melayu.
Sambut-menyambut
Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah
pengantin perempuan. Semasa ini, suami dan ibu bapa mertua akan
membawanya membuat kunjungan pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya,
mereka akan menjalankan istiadat bersanding sekali lagi, jika ibu bapa
mertuanya merupakan orang berada. Lagi sebuah kenduri yang terdiri
daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kekadangnya, hiburan
sepanjang siang dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian
tempatan akan diadakan untuk menghibur isteri yang baru ini. Istiadat
yang diadakan di rumah pengantin lelaki kekadang lebih besar daripada
istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan, tetapi kenduri-kenduri
perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah
lebih banyak dan lebih mewah daripada kenduri-kenduri yang diadakan di
rumah pengantin lelaki.
Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru
itu yang diiringi oleh suami dan ibu bapa mertuanya akan kembali ke
rumah perempuan untuk mendiami sekurang-kurangnya beberapa bulan. Pada
kepulangannya ini, sebuah kenduri yang kecil akan diadakan.
Inilah dia huraian secara ringkas tentang adat resam kahwin Melayu.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_resam_kahwin_Melayu